KLANG - Empat lokasi dikesan sebagai kawasan titik panas membabitkan kemalangan maut pada musim perayaan Tahun Baharu Cina melibatkan kawasan Klang Selatan pada tahun ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, motosikal dan kenderaan berat antara kenderaan yang menjadi penyumbang kepada kes kemalangan maut.
"Antara lokasi titik panas ini melibatkan Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Pelabuhan Barat dan jalan pintasan (Jalan Pelabuhan Barat menghala Jalan Pelabuhan Utara).
"Kawasan titik panas kemalangan maut ini dikesan antara menjadi laluan utama kenderaan berat dan penunggang motosikal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Op Selamat peringkat IPD Klang Selatan di Bandar Botanik Klang, Jalan Klang-Banting di sini pada Rabu.
"Pemantauan akan dijalankan dengan menfokuskan kepada pengurangan kadar kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat.
"Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) dilaksanakan bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini yang mana tindakan saman akan diambil terhadap mana-mana pemandu kenderaan berat yang didapati melanggar penguatkuasaan ini," katanya.
Menurutnya, selain itu pihaknya turut menfokuskan kepada pencegahan jenayah sepanjang musim perayaan ini.
"Bagi kawasan Klang Selatan, terdapat antara 500,000 hingga 800,000 penduduk, jadi kita harap masyarakat sentiasa menjadi mata dan telinga kepada pihak polis.
"Terus lapor kepada polis sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kawasan tempat tinggal masing-masing," katanya.