AMPANG - Seramai lima lelaki termasuk dua warga Myanmar ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di Jalan Bunga Tanjung 8B di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan kesemua suspek berusia 19 hingga 21 tahun itu adalah susulan laporan yang dibuat oleh mangsa yang mendakwa motosikal jenis Honda EX5 telah dicuri.
Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bekerja itu ditahan di sekitar Ampang dan Sentul, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
"Semakan mendapati tiga motosikal dan dua rangka motosikal itu dilaporkan hilang di Wangsa Maju, Setapak dan Jinjang, manakala sebuah motosikal pula dilaporkan hilang di Ampang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, beberapa peralatan seperti sepanar, alatan mesin gergaji, beberapa ekzos kereta yang telah dipotong dan komponen motosikal telah dileraikan.
"Semakan lanjut mendapati hanya empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Tambah Mohamad Farouk, modus operandi suspek adalah mensasarkan motosikal di kawasan sunyi dan juga ekzos kenderaan model lama.
"Kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula Selasa sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan," katanya.