PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Polis (TKP) Perlis telah mengeluarkan arahan untuk memusnahkan kem penempatan sementara yang ditemui di Wang Kelian, empat tahun lalu.
Komander Kompani Batalion B Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Asisten Superintendan M Joeking berkata, arahan itu dikeluarkan pada mesyuarat yang diadakan pada 20 Januari 2015.
"Saya tanya TKP apa nak buat dengan kawasan itu, dan beliau mengeluarkan arahan untuk memusnahkannya," katanya.
Menurutnya, sebelum keputusan dibuat, ada perbincangan dilakukan TKP tanpa kehadirannya.
"Jadi saya terima arahan itu dan menyampaikannya kepada Pegawai Pemerintah Medan, Deputi Superintendan Silva Ngandam," katanya.
Joeking yang merupakan saksi kelima inkuiri tersebut berkata, beliau dan Silva bersama 30 anggota naik ke lokasi keesokan harinya untuk tujuan pemusnahan.
"Sebelum pemusnahan dilakukan, ada anggota yang meramkan gambar sekitar," katanya.
Pemusnahan bermula dengan membakar kanvas dan pada masa sama, pasukannya membuat pencarian di kawasan tersebut.
"Pada masa inilah kami menemui kubur-kubur dan arahan dikeluarkan agar pemusnahan dihentikan bagi membuat siasatan lanjut," katanya.
Katanya, pada hari tersebut, hanya kanvas sahaja dibakar.
"Struktur penempatan masih dikekalkan," katanya.
Beliau berkata, laporan mengenai penemuan kubur dibuat pada keesokan harinya di IPD Padang Besar.
"Kami agak keletihan kerana selesai jam 6 petang, jadi laporan dibuat keesokan harinya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemusnahan kem pemerdagangan manusia itu sehari selepas ia ditemui berkemungkinan menghilangkan bukti yang boleh membantu siasatan polis.
Prosiding hari berlangsung di hadapan tujuh panel RCI yang dipengerusikan oleh Tun Ariffin Zakaria.