SHAH ALAM - Pas Selangor yang berkeyakinan tinggi untuk menawan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan hanya 'bermimpi di siang hari'.
Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor, Adzman Kamaruddin berkata, kemenangan Pas di enam kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya sekadar kempen mempengaruhi pengundi.
"Pas mempengaruhi pengundi melalui kempen di media sosial pada PRU-15 khususnya TikTok, maka tidak hairanlah ia tersebar luas mempengaruhi pengundi yang cetek pengetahuan tentang politik dan agama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, prestasi itu antaranya dari segi soal kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.
Ujar beliau, perbandingan juga seharusnya dibuat antara negeri Selangor dipimpin Pakatan Harapan (PH) dengan Kelantan atau Terengganu yang ditadbir Pas.
"Itulah batu asas untuk mengukur sejauh mana kecekapan pasukan pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah PH," jelasnya.
Adzman berkata, prestasi menakjubkan di peringkat Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempengaruhi sentimen rakyat.
"Dunia mengiktiraf kebangkitan Malaysia dan melihat Kerajaan Perpaduan melakukan apa yang gagal dilakukan Pas selama lebih 30 bulan berada di Putrajaya," ujarnya.
Tambah beliau, pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai peruntukan sebanyak RM100 juta bagi kerja baik pulih dan melebarkan jalan di seluruh negeri menunjukkan tekad kerajaan negeri mengurus kemudahan asas terbaik untuk rakyat.
"Sebanyak 42 program Iltizam Selangor Penyayang untuk tahun 2022 telah memberi manfaat begitu besar buat rakyat negeri Selangor termasuk mereka yang berhijrah dari negeri ditadbir Pas kerana kegagalan menyediakan peluang pekerjaan," kata beliau.
Sebelum ini, media melaporkan, Pas dan Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil alih kerajaan Selangor daripada Pakatan Harapan pada PRN akan datang.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu.