'Tidak perlu perbesarkan, cukup setakat ini sahaja' - Fawwaz

Iklan
Muhammad Fawwaz

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan meminta agar semua pihak tidak memperbesarkan isu berhubung kenyataan dimuat naik di Facebooknya yang mendakwa orang kafir berusaha untuk menjatuhkan agama Islam.

Beliau berkata, ini kerana kenyataan tersebut dibuat oleh bekas pentadbir Facebook rasminya dan individu berkenaan telah pun membuat permohonan maaf selain kenyataan tersebut sudah dipadamkan.

Iklan
Iklan

"Saya mohon agar perkara ini tidak diperbesarkan kerana ia kesilapan yang sudah dijelaskan, malah beliau (pentadbir Facebook) sudah memohon maaf secara terbuka dan juga kepada saya.

"Saya tidak mahu pentadbir tersebut berasa bersalah. Saya pun dah maafkannya. Oleh itu, saya tidak mahu ulas lebih panjang kerana isu pun sudah selesai," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Muhammad Fawwaz menambah, berlaku kesilapan ketika hantaran dibuat namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya mohon isu ini tidak diperbesarkan, cukup setakat ini sahaja," katanya.

Iklan

Sebelum ini, satu kenyataan telah dimuat naik di Facebook Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan iaitu 'Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.'

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam buku Fiqh al-Harakah.

Susulan dari itu, satu komen dipercayai dibuat bekas pentadbir Facebooknya memohon maaf di atas kecuaiannya.

"Saya memohon beribu kemaafan di atas kecuaian dan kekhilafan yang berlaku, posting ini tidak berniat untuk menyingung perasaan mana-mana pihak atau perkauman.

"Posting ini juga bukan daripada YB tetapi daripada admin (pentadbir) yang bertugas. Kenyataan ini tidak ada kaitan dengan YB Ustaz Fawwaz dan tanpa pengetahuan YB," katanya di ruangan komen.

Bagaimanapun, kenyataan dan komen tersebut sudah tidak lagi boleh diakses.