NILAI - Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook dengan nama Agnes Cheong selepas disyaki membuat hantaran di media sosial itu berbaur penghinaan agama.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada Selasa jam 6 petang mengenai tindakan pemilik akaun Facebook tersebut.
"Sekitar November tahun lepas, semasa pengadu sedang melayari aplikasi Facebook, mendapati ada satu hantaran oleh pemilik akaun dikenali sebagai Agnes Cheong telah menulis perkataan serta menampilkan gambar-gambar yang menyentuh isu-isu sensitif.
"Antaranya adalah agama, perkauman, kerabat-kerabat Diraja dan menggelar anjingnya yang menerima pingat sebagai Datuk Wira," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, pemilik akaun tersebut telah membuat satu lagi hantaran Facebook yang bertarikh 1 Disember lepas di mana dia telah menampilkan gambar seekor anjing yang sedang memakai tudung serta menggambarkan anjing tersebut sebagai seorang Melayu.
"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis(IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.
"Hasil siasatan mendapati hantaran tersebut telah dipadam. Pihak polis sedang berusaha mengesan pemilik akaun untuk siasatan lanjut," katanya.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan tidak memuat naik ataupun membuat hantaran di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran sehingga menyebabkan pecah keamanan.