JOHOR BAHRU - Polis berjaya menahan pasangan kekasih selepas berlaku aksi kejar-mengejar dengan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Pesona di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Johor Bahru sehingga Ayer Hitam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam buah Unit Kereta Peronda (MPV) dari JBS dan empat unit MPV dari IPD Johor Bahru Utara (JBU) terlibat mengejar suspek sehingga ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam, pada malam Selasa.
Katanya, kejadian pada kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku apabila anggota polis yang sedang membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan rekreasi Adda Height ternampak sebuah kereta Proton Persona dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek terus mengundurkan kereta dan melanggar kereta MPV polis serta melarikan diri.
"Berlaku aksi mengejar sehingga suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam. Suspek ditahan terdiri daripada pemandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dan wanita berusia 18 tahun.
"Hasil soal siasat awal mendapati kedua suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat kereta peronda MPV polis menghampiri kenderaan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.
"Polis turut merampas Proton Persona yang digunakan suspek, telefon bimbit dan wang tunai RM168. Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Rabu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu)," katanya.
Sebelum itu, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat memaparkan beberapa kenderaan MPV polis dengan siren yang dibunyikan sepanjang jalan sedang mengejar sebuah kereta Persona di Jalan Skudai tular di media sosial.