Tiada keputusan jenama semula nama KLIA

Iklan
Surat yang tular mendedahkan berhubung cadangan penukaran nama KLIA kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang. (Gambar kecil: Ng Sze Han)

SHAH ALAM - Tiada sebarang keputusan dicapai berhubung cadangan penjenamaan semula nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han berkata, sebelum ini perkara tersebut memang pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

Iklan
Iklan

"Perkara ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor dan kebanyakan lapangan terbang antarabangsa yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya, contohnya seperti Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhumi di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan sebagainya.

"Ia memang pernah disebutkan dalam MMKN tapi sehingga setakat ini, tiada apa-apa yang diputuskan mengenai perkara tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu sidang akhbar di program FedEx Express di Senai, Johor hari ini memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi tentang perkara itu daripada Kerajaan Negeri Selangor dan nama KLIA masih kekal.

Terdahulu, tular satu surat yang mendedahkan berkenaan cadangan tersebut yang dibangkitkan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim dalam MMKN yang diadakan pada 3 Oktober 2018.

Iklan

Turut disebutkan, Chang Khim menyifatkan penjenamaan semula nama adalah seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.

Menerusi surat itu, nama yang dipersetujui oleh MMKN untuk dicadangkan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dan Sze Han dinyatakan bersetuju membawa perkara itu untuk dicadangkan pada Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara.