KOTA BHARU - Kes pelajar sekolah terlibat pelbagai kesalahan jenayah di negeri ini meningkat kepada 111 tangkapan pada tahun lalu berbanding 83 tangkapan pada tahun sebelumnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah tersebut melibatkan pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Enam yang berusia 13 hingga 18 tahun.
"Mereka ini kebanyakan tidak faham atau mengetahui kesan seterusnya jika mereka terbabit dengan jenayah pada usia muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Engagement Kor-Sukarelawan Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Pengetua SMK Raja Sakti, Datin Dyuhiza Anuar.
Muhamad Zaki berkata, punca remaja terjerumus dengan kegiatan jenayah antaranya akibat daripada pengaruh media sosial dan keluarga yang bermasalah.
Menurut beliau, sehubungan itu juga, pihaknya melancarkan projek perintis di SMK Raja Sakti tersebut bagi membina hubungan rapat antara Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan pelajar sekolah daripada Tingkatan Satu hingga Empat dalam usaha mencegah jenayah di sekolah.
"Projek pertama ini akan melibatkan 205 Kor Suksis dari Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertindak menjadi suri teladan kepada para pelajar.
"Projek mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain selepas ini,” katanya.