DUNGUN - Ribuan akaun pengguna air di kawasan Paka dan sekitar dijangka terjejas susulan insiden paip Syarikat Air Terengganu (SATU) di Jambatan Paka, di sini dilanggar tongkang dalam kejadian pada Rabu.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi hantaran di laman Facebooknya kira-kira jam 4 petang Rabu.
Iklan
Iklan
Menurut hantaran itu, Satiful berkata, paip tersebut tidak sengaja dilanggar tongkang berkenaan yang ketika itu menjalankan kerja-kerja membaiki paip terbabit.
"Paip air SATU di Jambatan Paka patah terlanggar oleh tongkang yang merupakan tongkang kontraktor untuk membaiki paip sama (yang sebelum ini) hampir patah kerana dilanggar bot.
"Keadaan ini melibatkan beribu akaun pengguna air SATU. Insya-ALLAH akan diambil tindakan segera yang akan menggunakan Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi," tulisnya.
Menurut Satiful, pengguna disarankan membuat persiapan seperti menadah dan menyimpan air terlebih dahulu kerana dikhuatiri berlaku gangguan bekalan air.
"Untuk pengguna Felda 2/3 dan Ketengah Jaya, jika ada yang terjejas akan dibantu lori tangki air," ujarnya.