SANDAKAN - Mohammad Sudeh Sudin, 20, seorang daripada kru kapal kargo yang dilapor hilang di perairan Indonesia baru-baru ini, kali terakhir menghubungi keluarganya awal bulan ini.
Ibunya, Ratna Abu, 53, memberitahu perkara tersebut kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang melawat keluarga mangsa di rumahnya di sini pada Rabu.
Vivian berkata, sejak dihubungi Mohammad Sudeh awal bulan ini, keluarganya tidak menerima apa-apa khabar mengenai kru itu sehingga hari ini.
Media sebelum ini cuba menemu bual keluarga itu, bagaimanapun keluarga itu memohon pihak media supaya memberikan ruang dan privasi kepada mereka ketika berdepan dugaan tersebut.
Vivian berkata, ketika tiba kediaman kru kapal kargo itu, Ratna kelihatan tidak berdaya untuk bergerak kerana terlalu sedih dan tertekan mengenangkan nasib anaknya itu.
"Kami mendoakan segala urusan dan misi pencarian serta menyelamat dapat dijalankan dengan sebaiknya dan dipermudahkan. Didoakan agar semua kru kapal ditemui dengan selamat dan keluarga tabah," tambahnya.
Pada 9 Januari lepas, kapal kargo MV Dal Cat 06, yang didaftarkan di Malaysia, membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 serta lima kru iaitu tiga warganegara dan dua warga Indonesia, dipercayai hilang di perairan Indonesia.
Laporan kehilangan kapal kargo itu dibuat ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, pada hari yang sama. - Bernama