Mahkamah Thailand perintah 'Jho Low 2' diekstradisi ke China

Iklan
Teow Wooi Huat

BANGKOK - Mahkamah Thailand hari ini memerintahkan ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki, Teow Wooi Huat diekstradisi ke China, untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan walaupun Malaysia turut memfailkan permintaan ekstradisi.

Mahkamah berkata, Wooi Huat yang juga dikenali sebagai Tedy Teow, pengasas Kumpulan MBI, boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari.

Iklan
Iklan

Keputusan itu disampaikan melalui pendengaran maya hari ini.

Wooi Huat, yang memakai pakaian seragam penjara berwarna coklat dan berpelitup muka, mendengar keputusan itu dari Penjara Reman Bangkok diiringi pegawai penjara.

Iklan

Dia yang kelihatan tenang sepanjang perbicaraan bertanya"bolehkan saya merayu?” selepas hakim membaca keputusan.

Terdahulu, mahkamah berkata, pihak berkuasa China memfailkan permintaan untuk mengekstradisi Teow ke China untuk menghadapi pertuduhan penipuan dan skim pelaburan yang meragukan.

Iklan

Mahkamah juga menyatakan Wooi Huat juga berada dalam senarai Notis Merah Interpol untuk disoal siasat.

"Dia (Teow) terlibat dalam penipuan melalui syarikatnya yang beroperasi di Malaysia dan Thailand. Dia akan diekstradisi ke China,” kata mahkamah.

Sementara itu, peguam Wooi Huat, Juti Suanraksa berkata, Wooi Huat akan memfailkan rayuan terhadap perintah ekstradisinya ke China.

Selain itu, beliau berkata, pasukan peguamnya sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan kepada mahkamah bersabit permintaan ekstradisi Malaysia.

"Kami mengemukakan dokumen tambahan seperti yang diminta.

"Mahkamah dijangka mendengar kes permintaan ekstradisi Malaysia tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.

Wooi Huat ditahan pada 21 Julai tahun lepas dan dimaklumkan bahawa dia dikehendaki oleh pihak berkuasa di China kerana menipu pelabur menerusi skim pelaburannya yang meragukan.

Dia dikehendaki oleh Malaysia dan China, dengan China lebih dahulu memohon ekstradisi.

Wooi Huat berada dalam tahanan Polis Imigresen Thailand selama lebih 180 hari selepas visanya dibatalkan pada 21 Julai lepas.

Sejak itu, dia menunggu pengusiran oleh pihak berkuasa Thailand.

Polis Beijing juga dilaporkan mahu menyoal siasatnya berikutan saman yang difailkan oleh kira-kira 400 pelabur dari China untuk mendapatkan semula pelaburan bernilai kira-kira RM100 juta.

Pada 25 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata ia dalam proses memohon Wooi Huat diekstradisi ke Malaysia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama