PRESTASI jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus menjadi tanda tanya. Malah, ketidakupayaan Zii Jia menawan Terbuka Malaysia 2023 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu makin menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat badminton negara.
Tampil selaku pemain nombor dua dunia, Zii Jia bukan sahaja gagal untuk sekurang-kurangnya menjejakkan kaki di pentas final, tetapi lebih mengecewakan apabila dia tersingkir seawal pusingan pertama di hadapan penyokong sendiri.
Tanpa mengambil kira prestasinya pada Terbuka India 2023 yang berlangsung ketika ini, sudah mula kedengaran ‘cakap-cakap belakang’ yang mahukan Zii Jia kembali mendapatkan khidmat seorang jurulatih bagi membantunya setiap kali turun ke gelanggang pertandingan.
Malah, ada juga yang sudah ‘berbunyi’ mahukan pemain berusia 25 tahun itu kembali ke pangkuan badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tanpa perlu bergerak solo secara profesional - keputusan yang dibuatnya kira-kira setahun lalu.
Sudah tentu ramai pihak terutama peminat fanatik Zii Jia terkejut apabila dia membuat keputusan ‘berpisah’ dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.
Pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena minggu lalu, jelas kelihatan Zii Jia seolah-olah hilang arah apabila membuat perhitungan dengan pemain muda meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka yang akhirnya muncul naib juara edisi kali ini.
Sekalipun rakan sepelatih Zii Jia yang juga pemain negara, Liew Daren ada membantunya di tepi gelanggang, tetapi itu belum cukup memadai. Seharusnya Zii Jia memerlukan khidmat jurulatih yang jauh lebih berpengalaman.
Atas tiket Daren seorang senior atau pemain yang lebih berpengalaman, ia tidak menjamin buat Zii Jia menyerlah di atas gelanggang. Tetapi itu juga bukan bermakna Daren tidak mempunyai wibawa atau kemampuan ‘mengasuh’ Zii Jia.
Sebaik-baiknya Zii Jia mendapatkan sentuhan jurulatih bertaraf dunia - sesuai dengan kehendaknya yang mahu bergerak secara profesional tanpa bernaung di bawah BAM. Itu sahaja yang perlu difikirkan Zii Jia ketika ini.
Memang benar dia pernah berkata;"Ini jalan yang saya pilih, saya perlu terima dan tanggung. Mati pun matilah... saya tidak akan menyesal.”
Tetapi ingatlah Zii Jia, tidak ada apa yang perlu dimalukan jika anda membuat keputusan kembali ke pangkuan BAM.