Terengganu tidak mampu tanam padi lima kali dua tahun

Iklan
Terengganu tidak mampu melaksanakan program peningkatan hasil pengeluaran padi melalui penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun seperti negeri lain kerana halangan Monsun Timur Laut (MTL).

KUALA TERENGGANU - Terengganu tidak mampu melaksanakan program peningkatan hasil pengeluaran padi melalui penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun seperti negeri lain kerana halangan Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, banjir yang berlaku dijangka sekitar bulan November hingga Februari akan menjejaskan tanaman padi.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan meningkatkan hasil padi dengan beberapa strategi lain iaitu mengetatkan kelulusan permohonan tukar syarat tanah padi bagi mengekalkan kawasan sawah sedia ada.

"Bagi kawasan sawah yang ditanam sekali setahun, kita tingkatkan kepada dua kali setahun dan antara kawasannya adalah Skim Padi Paya Dadong, Skim Paya Paman di Kemaman dan Skim Durian Mentangau di Dungun.

Iklan

"Oleh itu, kita akan berusaha meningkatkan pengeluaran hasil padi bagi setiap hektar sawah supaya kadar kecukupan sara diri (SSL) penduduk negeri ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya di sini pada Khamis.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta pada tahun 2021 dan RM700,000 pada tahun lepas untuk projek pembangunan infrastruktur sawah padi seperti kelengkapan sistem pengairan.

Iklan

Katanya, hasil pengeluaran padi di Terengganu menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 71,382 matrik tan pada tahun 2019, 73,068 matrik tan (2020) dan 75,013 matrik tan (2021).

"Namun, hasil padi pada tahun 2022 dijangka mengalami penurunan disebabkan faktor bencana banjir luar jangka pada Februari lalu memusnahkan banyak kawasan padi dan wabak penyakit yang melanda tanaman bagi musim kedua,” katanya.