Konsep Madani panduan kemudi negara

Iklan
Anwar menyampaikan Amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di PICC) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Konsep Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia menggariskan enam tonggak panduan bagi mengemudi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara dan peradaban yang akan bangunkan kelak haruslah Mampan, Sejahtera, Berdaya Cipta, Saling Menghormati, Punyai Keyakinan dan Bersifat Ihsan (Madani).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan.

"Saya bukan berhajat untuk mengemukakan wawasan baharu atau pun membina tugu baru, saya berhasrat untuk mengajak rakan, pimpinan dan rakyat menyedari bahawa kita memikul amanah besar," katanya.

Iklan

Beliau berkata, semua pihak bertanggungjawab mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai akhlak, tata kelola adil dan berkesan dalam sejarah negara.

"Dalam mengungkapkan Madani ini kita menekankan pemerkasaan ekonomi, budaya tetapi berteras nilai etika atau akhlak," katanya ketika berucap di hadapan 2,500 hadirin dalam amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani, di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, bagi sesetengah pihak, istilah Madani dianggap baharu, namun ia telah disebut lama oleh pemikir.

"Kita perkenalkan dan hebahkan kerana ia menekankan soal keyakinan dan kemanusiaan," katanya.

Anwar berkata, strategi Madani dicerakinkan kepada tiga keutamaan iaitu basmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi.

Ujar beliau, ketika negara bergelut dalam ekonomi, teknologi dan digital serta memacu pertumbuhan, nilai kemanusiaan tidak boleh ditinggalkan.

"Meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta akur tanpa mengira latar belakang," katanya.

Tambah Anwar lagi, walaupun kadar kemiskinan negara dikatakan menurun dengan ketara ketimbang lima dekad yang lalu, namun ujar Anwar, jumlah rakyat miskin masih hakikatnya masih tinggi.

Beliau berkata, setakat Julai 2022, lebih 136,000 isi rumah masih dalam kategori miskin tegar, sementara lebih 308,000 isi rumah dalam kategori miskin.

"Kadar pengangguran walaupun sedikit menurun tetapi menyangkut masalah belia dan wanita," katanya.

Jelas Anwar, kaedah dan cara pentadbiran lama tidak dapat menyelesaikan masalah negara.

"Terpukau dengan angka juga tidak mungkin dapat membantu.

"Kita harus menamatkan salah satu ukuran kemajuan dengan pertumbuhan ekonomi sahaja.

"Keghairahan menyebut angka pertumbuhan, pelaburan asing atau angka-angka tanpa menekankan kesan akibat kepada manusia seluruhnya, bagi saya tidak akan membantu," kata beliau.

Menurutnya, untuk mendepani 2023, konsep Madani kekal relevan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara.

"Saya tidak mahu mengungkit pengalaman lalu yang ada kekuatan dan kelemahan tertentu.

"Perkara baik kita manfaatkan tanpa mengira dari blok, parti, fahaman tetapi semua kelemahan mesti dihentikan," katanya.

Beliau berkata, antara kelemahan terbesar adalah adalah cara mengurus, menggunakan ruang untuk mengkayakan kelompok kecil.

"Saya yakin sekiranya kita dapat melaksanakan urus tadbir yang baik dan dapat mendepani kemelut ekonomi mendatang dengan lebih yakin," katanya.

INFO

M.A.D.A.N.I. -

M - Mampan

Kemajuan mutu kehidupan bangsa dalam acuan yang seimbang antara manusia dan alam, bernuansakan citra Malaysia yang unik.

A - sejahterA,

Membawa makna keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan dan segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan.

D - berDaya cipta.

Mengandungi beberapa konotasi antaranya pembaharuan, reka cipta dan reka baharu

A - saling menghormAti,

Mengandungi konotasi maruah manusia. Satu kalimat lain yakni adab yang berasal daripada bahasa arab.

N - punyai keyakiNan

Keyakinan punyai kaitan yang erat dengan amanah yakni suatu ikrar pertanggungjawaban moral duniawi dan ukhrawi.

I - bersifat Ihsan

Ihsan itu sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan