GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan pembayaran bagi Program-Program i-Sejahtera pada tahun ini.
Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, bayaran i-Sejahtera bagi fasa satu 2023 telah dijadualkan bermula 8 Mac dan akan dilaksanakan sepenuhnya secara pengkreditan terus ke akaun bank (EFT).
Menurutnya, bayaran bagi tahun 2023 telah ditunda pelaksanaannya berbanding jadual tahun-tahun sebelumnya yang dilakukan sama ada pada Januari atau Februari berikutan proses penyusunan semula dan pengemaskinian bagi pembayaran i-Sejahtera tahun-tahun tertunggak 2020 dan 2021 serta tahun 2022.
"Pembayaran bagi tahun-tahun tertunggak tersebut tidak dapat dilaksanakan kepada penerima tunai berikutan situasi penularan wabak Covid-19.
"Kerajaan Negeri telah memanjangkan tempoh untuk pengemaskinian maklumat perbankan pemohon yang terlibat dan melewatkan fasa pembayaran bagi mengurangkan jumlah keciciran penerima,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.
Boon Poh berkata, pembayaran yang akan dibuat melibatkan Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal dan Program Suri Emas.
Jelasnya, berdasarkan pengkalan data sehingga 18 Januari anggaran jumlah penerima yang terlibat dalam sesi pembayaran kali ini adalah sebanyak 192,297 orang penerima bagi Program Penghargaan Warga Emas, 10,241 orang bagi Program Bantuan Ibu Tunggal dan sebanyak 43,885 orang bagi Program Suri Emas.
Tambahnya, kadar bayaran semasa adalah sebanyak RM200 bagi Program Penghargaan Warga Emas, RM100 bagi Program Bantuan Ibu Tunggal dan RM100 bagi Program Suri Emas menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan negeri bagi Program i-Sejahtera Fasa 1/2023 sebanyak RM43,872,000.
"Jumlah sebenar penerima mungkin akan berubah dari masa ke semasa sehingga proses pengemaskinian selesai sepenuhnya.
"Kerajaan Negeri sekali lagi ingin menyeru agar semua pemohon sama ada pemohon sedia ada mahupun pemohon baharu yang berdaftar di dalam Program-Program i-Sejahtera supaya segera mengemaskini maklumat perbankan masing-masing bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam penerimaan sumbangan i-Sejahtera," katanya.