Kastam rampas arak seludup RM1.845 juta

Iklan
Misbahudin menunjukkan arak yang tidak bercukai dirampas semasa pemeriksaan di Pelabuhan Johor pada sidang akhbar di Menara JKDM Johor pada Khamis
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludup arak disyaki tidak bercukai berjumlah RM1.845 juta dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram dan Pasir Gudang di sini.



Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, menerusi serbuan pertama sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang menjalankan pemeriksaan ke atas tiga kontena di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 30 November lalu.

"Sindiket menyeludup minuman keras tersebut dengan meletakkannya dalam kotak minuman jus epal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran muatan dagangan kapal tersebut mendapati bahawa barang dagangan telah diikrar sebagai air minuman jus epal berkarbonat," katanya ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Khamis.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut dilakukan bersama pasukan risikan JKDM Zon Selatan dan wakil syarikat penghantaran itu mendapati 40 peratus daripada barangan dagangan tersebut adalah minuman keras yang disorokkan dalam kotak minuman berkarbonat.

"Modus operandi sindiket penyeludupan itu dengan membuat pengikraran palsu dan semua arak berkenaan tidak diikrarkan dalam muatan dagangan yang dianggarkan bernilai RM1.742 juta.

"kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama," katanya.

Katanya, semua minuman keras itu dipercayai diseludup masuk dari China untuk memenuhi pasaran tempatan.

"Arak tersebut adalah larangan import dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, pengimportan dagangan berkenaan memerlukan lesen import dari Ketua Pengarah Kastam," katanya.

Misbahudin berkata, serbuan kedua pula membongkar satu lagi kegiatan penyeludupan minuman keras selepas melakukan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, 1 Januari lalu.

"Dalam serbuan itu, pihak kastam menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai bernilai RM103,400," katanya.

Tambahnya, kejayaan berkenaan adalah terhasil hasil intipan dan siasatan yang dijalankan sejak sebulan yang lalu.

"Modus operandi sindiket penyeludupan ini dengan menjadikan rumah kediaman itu sebagai tempat penyimpanan arak itu.

"Arak itu dipercayai diperolehi dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum diedar ke pasaran setempat," ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.