PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tahap prestasi pengadil bagi saingan Liga Malaysia tahun lalu berada pada tahap memuaskan.
Menurutnya, FAM akan terus komited menambah baik kualiti pengadilan menerusi aktiviti-aktiviti pembangunan dan pemerkasaan pengadil pada tahun ini.
"Bagi musim 2022, FAM telah menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil demi menjaga serta mengekalkan kualiti barisan pengadil yang bertugas di Liga Super dan Liga Premier.
"Bukan mudah untuk seorang pengadil membawa tanggungjawab melaksanakan perlawanan yang sentiasa menjadi tumpuan penyokong bola sepak negara. Namun, Alhamdulillah secara keseluruhannya, prestasi pengadil bagi musim 2022 berada di tahap yang memuaskan.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jersi Baharu Pengadil bagi Musim 2023 dan Majlis Makan Malam Bersama Pengadil Kebangsaan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada Kronos Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada FAM dalam memastikan barisan pengadil Malaysia dapat beraksi dengan baik.
"Semoga menerusi majlis makan malam penghargaan pengadil ini serta jersi baharu pengadil yang akan digunakan bermula Februari ini dapat menyuntik semangat serta motivasi buat barisan pengadil dalam menjalankan amanah yang telah diberikan," katanya.
Selain pelancaran jersi baharu pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan Mohd Yusri Muhamad telah dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi Musim 2022.
Nurul Hafizah Nuraddin serta Siti Noorhidayat Ghazali pula dinobatkan sebagai Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik bagi Musim 2022.