Jajaran semula ikut spesifikasi keselamatan

Iklan
Abdul Yunus Jamhari

IPOH - Jajaran semula Jalan Negeri A127 (Jalan Gelong Pepuyu - Beruas) yang merentasi Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dibina mengikut amalan kejuruteraan terbaik dengan mematuhi keperluan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, penjajaran semula itu juga dilengkapi keperluan keselamatan meliputi perabot jalan seperti papan tanda keselamatan dan 'rumble strip'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah inisiatif bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan di selekoh tajam di simpang masuk ke Kampung Gelong Pepuyu-Kampung Paya Ara.

"Jalan yang merentasi lebuh raya WCE itu dibuat penjajaran semula dan pembinaannya siap serta dibuka kepada lalu lintas pada Oktober tahun lalu.

Iklan

"Jadi buat masa ini tiada cadangan bagi membina sebarang 'underpass' di jajaran asal," katanya menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Datuk Abdul Manaf Hashim (Pengkalan Baharu-BN) memohon penjelasan sekiranya terdapat cadangan membina laluan bawah lebuh raya WCE bagi kemudahan penduduk Kampung Gelong Pepuyu.

Iklan

Jalan pintas dibina baru ke kampung itu dikatakan terlalu sempit dan kecil menyebabkan ramai pengguna terbabas terutama waktu malam kerana tiada kemudahan lampu.

Abdul Yunus berkata, reka bentuk pencahayaan di persimpangan jalan baru menuju ke kampung itu tidak dimasukkan dalam skop asal pembinaan WCE.

Bagaimanapun, menurutnya, JKR akan menyelaraskan pemasangan lampu jalan dalam skop pembinaan dengan WCE.

"Bagi pelebaran jalan sedia ada dari Kampung Gelong Pepuyu ke Kampung Kota, cadangan itu akan diselaraskan bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah dan Tanah Manjung," katanya.