Najib gagal bantah Abu Bakar dengar semakan hukumannya

Iklan
Muhammad Shafee (tengah) yang tiba bagi prosiding permohonan Najib pada Khamis. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk membantah komposisi Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais daripada senarai hakim-hakim untuk mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas menolak bantahan yang dikemukakan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Iklan
Iklan

Abdul Rahman berkata, mahkamah tidak yakin dengan hujahan itu kerana dinamakan secara sah oleh Ketua Hakim Negara dalam komposisi panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan semakan bekas Ahli Parlimen Pekan ini.

"Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara untuk menamakan hakim Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Iklan

"Ia adalah berdasarkan kepentingan keadilan mengikut Peruntukan 122 (2) Perlembagaaan Persekutuan,” katanya.

Selain Abdul Rahman dan Abu Bakar, prosiding itu turut didengar oleh tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Iklan

Abdul Rahman berkata, mahkamah juga menolak hujahan bahawa Abu Bakar tidak sepatutnya terbabit dalam pendengaran permohonan tersebut.

Prosiding kemudiannya bersambung dengan Muhammad Shafee memulakan hujahan permohonan semakan hukuman terhadap anak guamnya.

Pada pagi Khamis, belum pun sempat prosiding semakan bermula, Najib menerusi Muhammad Shafee membantah seorang daripada lima panel hakim untuk mendengar permohonan semakan itu.

Muhammad Shafee membantah komposisi panel hakim yang turut menyenaraikan nama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais kerana beliau merupakan hakim mahkamah rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, Najib selaku pemohon mestilah menunjukkan wujud keadaan bahaya atau berat sebelah apabila Abu Bakar dimasukkan dalam senarai panel itu.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim yang mengangkat sumpah jawatan Presiden Mahkamah Rayuan; Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Susulan itu, Najib diperintah untuk menjalani hukumannya di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Najib, 70, kemudiannya memfailkan semakan terhadap keputusan berkenaan atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan pada 6 September 2022.

Pemimpin UMNO ini memohon agar mahkamah tertinggi negara, menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utamanya diketepikan, dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Najib turut memohon untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini Hakim Mahkamah Rayuan dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Ia turut membabitkan semakan keputusan mahkamah yang menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan prosiding dan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Najib juga memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kes bagi kesalahan menyeleweng dana SRC itu.