KUANTAN - Tidak mahu hanya berserah pada takdir, dua pemancing nekad untuk berenang selama dua hari untuk menyelamat diri selepas bot mereka terkandas pada batuan dalam kejadian di Pulau Tioman, Isnin lalu.
Kedua-dua mangsa, Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah, 45, dan Chia Swee Kwong, 49, berjaya mendarat di pantai Teluk Juara pulau terbabit kira-kira jam 2.30 petang Rabu.
Zulfahmey ketika berkongsi detik cemas itu berkata, mereka berdua tidak putus asa untuk menyelamat diri walaupun beberapa kali mengalami kekejangan ketika berenang.
Menurutnya, sebagai membangkitkan semangat mereka berdua tidak putus-putus berdoa dan memikirkan keluarga.
"Ketika alami kekejangan saya tidak panik, sebaliknya cuba bertenang untuk membuat renangan sehingga berjaya sampai ke pantai.
"Pada saat getir seperti ini saya menggunakan semua kemahiran dan pengalaman ketika menjalani latihan di air ketika berkhidmat dalam FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dulu," katanya ketika dihubungi pada Khamis selepas terselamat sebaik sahaja dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ketika keluar memancing di perairan Pulau Tioman, Rompin.
Menceritakan semula kejadian itu, Zulfahmey berkata, pada jam 4 petang Isnin, mereka berdua keluar memancing di unjam (daun-daun kelapa yang diikat dengan rotan yang diletak dalam laut untuk tarik ikan berkumpul) yang terletak tidak berapa jauh daripada pulau terbabit.
"Bila enjin bot mati, bot kami hanyut. Kami kemudian mengambil keputusan untuk berlabuh memandangkan hari sudah gelap dan jarak bot dengan pulau ketika itu kira-kira 100 meter.
"Namun kira-kira jam 4 pagi, rantai sauh terputus menyebabkan bot kami dipukul ombak sebelum tersadai pada batuan pulau Tioman,” jelasnya lagi.
Zulfahmey berkata, disebabkan itu mereka berdua terpaksa memanjat tebing batu setinggi kira-kira dua meter untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, namun usaha mencari laluan keluar melalui hutan tidak berjaya.
Jelas Zulfahmey, dalam keadaan tiada bekalan makanan dan minuman serta isyarat telefon di kawasan membuatkan mereka nekad berenang daripada menunggu untuk diselamatkan.
"Kami mula berenang pada Jam 1 petang Selasa dengan menggunakan guna jaket keselamatan dan pelampung hanyut yang dikutip di kawasan berkenaan.
"Kami terpaksa berenang jauh daripada tebing berikutan ketika itu ombak dan angin kuat manakala kedalaman air pula kira-kira 10 meter," ujarnya.
Zulfahmey berkata, pada hari pertama, mereka berdua berjaya berenang melepasi tiga teluk dan kembali semula ke tebing batu kira-kira jam 6 petang kerana tidak mahu mengambil risiko berenang pada waktu malam.
Menurutnya, ketika berada di tebing batu itu, mereka ada melihat sebuah bot nelayan melalui lokasi terbabit dan berusaha meminta pertolongan dengan meniup wisel serta melambaikan jaket keselamatan, namun gagal.
"Pada hari kedua, rakan saya (Swee Kwong) sudah hampir putus asa kerana terlalu penat dan kelaparan, tetapi selepas memberikan semangat, dia setuju untuk berenang semula.
"Kami mengutip tiga biji pelampung di lokasi berkenaan memandangkan pelampung yang digunakan sebelum itu sudah hanyut sebelum mula berenang kira-kira jam 9 pagi.
"Walaupun penat dan mengalami kekejangan, akhirnya kami berdua berjaya sampai ke Pantai Teluk Juara selepas enam jam berenang pada hari itu,” cerita panjang lebar.