PENYANDANG juara Rafa Nadal terpaksa diketepikan enam hingga lapan minggu selepas mengalami kecederaan ketika tewas pada pusingan kedua di Terbuka Australia, pada Khamis.
Cabaran pemain nombor dua dunia, berakhir selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Mackenzie McDonald, 6-4 6-4 7-5 di Melbourne Park.
Pemain berusia 36 tahun itu menjalani imbasan MRI pada kaki kirinya di Melbourne pada Khamis, yang mendedahkan kecederaan gred 2 di Illiopsoas, fleksor pinggul utama.
"Dia bakal berehat panjang sebaik kembali ke Sepanyol dan akan bermula dengan fisioterapi anti-radang.
"Masa biasa dianggarkan untuk pemulihan lengkap adalah antara enam dan lapan minggu,” kata pasukannya dalam satu kenyataan.
Juara Grand Slam 22 kali itu tiba di Melbourne dengan hanya satu kemenangan sejak Terbuka AS selepas kecederaan rusuk, perut dan kaki menghalangnya ke gelanggang untuk sebahagian besar musim lalu selepas Wimbledon.
"Semoga ia tidak terlalu teruk. Saya sangat berharap (kecederaan) tidak menyebabkan saya terkeluar dari gelanggang untuk jangka masa yang lama, kerana sukar membuat pemulihan semula.
"Ia bukan sahaja pemulihan. Ini semua jumlah kerja yang anda perlu kumpulkan untuk kembali pada tahap yang baik,” kata Nadal kepada pemberita selepas kekalahannya.
Untuk rekod, pemulihan enam hingga lapan minggu akan membolehkan Nadal kembali mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis pada akhir Mei dan awal Jun ini.