SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang memperoleh gaji minimum RM1,323 membelanjakan RM405.46 sebulan bagi membeli sebakul barangan makanan asas.
Ia menjadikan sebakul barangan makanan asas bernilai 30.6 peratus daripada gaji minimum.
Menurut laporan oleh perkhidmatan beli-belah Picodi, gaji minimum RM1,323 sebulan itu juga meningkat berbanding Januari tahun lalu berjumlah RM1,052.
Jelasnya, sebakul barangan makanan asas itu adalah susu (RM69.90 untuk 10 liter), roti (RM35.10 untuk 10 buku), beras (RM7.76 untuk 1.5kg), telur (RM10.75 untuk 20 butir), keju (RM47.88 untuk 1kg), ayam itik dan daging lembu (RM151.20 untuk 6kg), buah-buahan (RM51.20 untuk 6kg) dan sayur-sayuran (RM31.67 untuk 8kg).
Picodi memperoleh harga barangan makanan asas itu daripada numbeo.com, laman sesawang bagi pengguna di seluruh dunia memantau harga makanan, barangan dan perkhidmatan.
Ia menganalisis 67 negara yang mana gaji minimumnya ditetapkan oleh kerajaan.
Tambahnya, daripada 67 negara dalam ranking gaji minimum, Malaysia menduduki tangga kelima dengan kenaikan gaji sebanyak 25.8 peratus antara Januari 2022 dan Januari 2023.