Lelaki warga Singapura didakwa edar dadah

Iklan
Muhammad Hairezal (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis atas pertuduhan mengedar dan positif dadah pada 13 dan 14 Januari lalu.

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah dan positif dadah jenis methamphetamine di Iskandar Puteri, dekat sini pada minggu lalu.

Pertuduhan pertama, Muhammad Hairezal Mohd Rafpi, 33, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Nimetazepam seberat 22,217 gram di sebuah kediaman di Persiaran Medini 3, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri pada jam 10.30 malam, 13 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Pertuduhan kedua pula, Muhammad Hairezal didakwa memberikan dadah berbahaya jenis Methamphetamine ke dalam diri sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada jam 5 pagi, 14 Januari lalu.

Iklan

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Iklan

Tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsuddin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Selepas pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat bertanyakan sama ada dia boleh diberikan jaminan namun mahkamah memaklumkan dia tidak layak kerana membabitkan kes hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.