PONTIAN - Hasrat tiga sahabat mahu mendapatkan gaji lumayan dan bekerja di luar negara berakhir dengan apabila mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Dubai.
Seorang dari mangsa, Jenny 36, (bukan nama sebenar) berkata selepas tiba di Dubai pada Oktober, dua tahun lalu mereka ditempatkan di sebuah banglo yang dipercayai menjadi pusat panggilan perjudian dalam talian.
Katanya, sebelum ke Dubai, dia bersama dua lagi sahabatnya iaitu Kelvin 21, (bukan nama sebenar) dan Jason 25, ( bukan nama sebenar) ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji sebanyak RM8,000 sebulan.
"Jason melihat tawaran iklan tersebut di telegram sebelum memberitahu saya dan Kelvin. Kami tertarik dengan tawaran gaji dan menghubungi nombor yang tertera pada iklan sebelum diminta menyiapkan pasport dan persiapan lain ke Dubai.
"Apabila tiba di sana, indah khabar dari rupa. Ejen dari China yang menguruskan kami menempatkan kami di sebuah banglo di Dubai yang turut didiami 20 pekerja lain dari Taiwan, Malaysia dan China.
"Kami tidak sangka rupanya pusat panggilan tersebut menjalankan aktiviti perjudian atas talian. Kami tidak mempunyai pilihan kerana banglo dikawal oleh empat pengawal dan terletak jauh di kawasan luar bandar di Dubai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai di sini pada Khamis.
Menurut Jenny, mereka hanya menerima gaji pada dua bulan pertama sebanyak RM2,000 dan tidak menerima apa-apa bayaran selama hampir setahun.
"Kami diberikan makan bubur dan roti pada siang dan hanya makan nasi pada sebelah malam. Kami tidak tahan dengan keadaan di banglo dan bertindak melarikan pada hari Krismas lalu.
"Ketika itu pekerja lain dan penyelia sindiket tiada di banglo cuma kami bertiga, kami bertindak keluar dan menaiki teksi ke Kedutaan Malaysia di Dubai. Kami seterusnya diselamatkan pihak kedutaan dan dibawa ke pulang ke tanah air pada Isnin," katanya.
Dalam pada itu, Jenny, Jason dan Kelvin bersyukur kerana selamat tiba di Malaysia dan pulang bertemu keluarga seterusnya dapat meraikan Tahun Baharu Cina pada Ahad ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, keluarga mangsa tampil ke pusat khidmatnya untuk meminta bantuan pada 29 Disember lalu.
Ujar Jeck Seng, selepas menerima aduan itu, pihaknya berhubung dengan Kementerian Luar serta Kedutaan Malaysia di Dubai sebelum membawa pulang tiga mangsa tersebut.
"Kami berharap mana-mana individu agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja lumayan terutamanya membabitkan kerja di luar negara," katanya.