KUANTAN - Pengalaman mendebarkan antaranya diacu penembak tepat menjadi detik getir yang terpaksa dihadapi Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang dalam membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum menegaskan situasi itu langsung tidak melemahkan semangatnya untuk membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tersebut.
"Isu pemerdagangan manusia ini semakin teruk, ikutkan mangsa rakyat kita di sana yang terlibat hampir 1,000 orang," dakwa Chon Siang.
Beliau memberitahu, setakat ini, sudah setakat ini 91 mangsa terdiri rakyat Malaysia pelbagai kaum sudah diselamatkan.
Tambah beliau, misi itu kian sukar kerana sindiket terbabit sudah mengetahui kaedah penyelamatan yang dilakukan oleh pihaknya.
"Sindiket itu semakin licik dan menyembunyikan mangsa di beberapa tempat, dan kalau melibatkan rakyat Malaysia mula ketara selepas pandemik Covid-19.
"Ia bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia, malah dari negara-negara lain seperti Taiwan, India, Bangladesh termasuk Mat Saleh juga," dakwa beliau.
Dalam pada itu, Chon Siang memberitahu, beliau akan cuba membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sedaya mungkin.
"Jika saya takut siapa lagi nak pergi bantu walaupun banyak rintangan, wang banyak habis bantu mangsa tapi ia tidak melemahkan semangat untuk terus bekerja membawa pulang rakyat Malaysia ke sini," tegas beliau.