Pelajar UPM hilang dikesan berada di Johor

Iklan
Keratan berita mengenai kehilangan pelajar berkenaan di Sinar Harian.

SERDANG - Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Irfan Hakimi yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu, dikesan berada di sekitar Tampoi, Johor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pelajar berkenaan dikesan berada di negeri Johor berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.

Iklan
Iklan

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran, pelajar berkenaan dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya.

"Polis juga berjaya menemui motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaikinya telah ditinggalkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

Iklan

"Jadi kita percaya pelajar berkenaan pergi menaiki bas menuju ke Johor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat Ke-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini pada Khamis.

Anbalagan (tengah) semasa melancarkan Op Selamat Ke-19 peringkat IPD Serdang pada Khamis.

Pada Rabu Sinar Harian Melaporkan seorang pelajar universiti dilaporkan hilang selepas pergi solat Jumaat dengan menunggang motosikal.

Iklan

Bapa pelajar berkenaan dilaporkan telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam pada jam 4 petang Isnin.

Anbalagan berkata, ibu bapa pelajar berkenaan telah dimaklumkan berhubung penemuan itu dan beliau difahamkan mereka telah bertolak ke Johor untuk mencari anak mereka yang hilang berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, Mohd Irfan tidak mengalami sebarang masalah peribadi ataupun berada dalam kemurungan.

"Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 bagi membantu siasatan," ujar beliau.