KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis mengeluarkan amaran hujan berterusan di timur semenanjung membabitkan Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu sehingga 22 Januari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Khamis, jabatan itu memberi amaran ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah dan barat Sarawak serta Sabah pada sebelah petang dan awal malam dalam tempoh berkenaan.
"Berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka sehingga 25 Januari depan dan keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh tersebut," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Selain itu, amaran angin kencang turut dikeluarkan bagi perkapalan dengan keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga diramalkan berlaku sehingga Rabu depan.
"Angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan utara Condore.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," menurut kenyataan itu. - Bernama