IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengeluarkan lapan notis menghapus bahaya kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, notis berkenaan dikeluarkan ke atas empat pusat membeli-belah hasil pemeriksaan 152 premis seluruh negeri bermula 9 Januari lalu.
"Semua kesalahan yang dikesan membabitkan pintu keluar tidak berada dalam keadaan baik disebabkan terhalang dengan stok barangan jualan.
"Keadaan ini perlu diberi perhatian kerana akan menyebabkan pelepasan diri menjadi sukar atau tidak mencukupi sekiranya berlaku kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini pada Khamis.
Azmi berkata, selain pusat membeli-belah, empat jenis premis turut diberikan keutamaan untuk pemeriksaan pada tahun ini iaitu bangunan dewan perhimpunan, hotel, restoran dan tokong.
Katanya, tokong menjadi sasaran penting pemeriksaan pada musim perayaan memandangkan menjadi tumpuan masyarakat dan pelancong dari dalam dan luar negeri.
"Pemeriksaan telah dijalankan di 35 tokong seluruh negeri dan didapati, premis berada dalam keadaan baik dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan bahaya kebakaran.
"Kita dapati pihak pengurusan tokong menyediakan alat pemadam api yang mencukupi, ruang jalan keluar masuk yang selamat serta susun atur yang tidak meletakkan bahan mudah terbakar," katanya.