Gudang simpan, pindah diesel subsidi diserbu

Iklan
Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan gambar rampasan membabitkan kegiatan pemindahan diesel bersubsidi di sebuah gudang di Kampung Sungai Jarom, Kuala Langat pada Isnin.

KUALA LANGAT - Sebuah gudang tempat simpan dan memindah diesel bersubsidi secara haram di Kampung Sungai Jarom, di sini diserbu dengan nilai sitaan dan rampasan bernilai RM8.4 juta, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan pada jam 10.30 malam itu itu dijalankan sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB), Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan, didapati sekumpulan lelaki sedang memindahkan minyak diesel dari lori ke dalam tangki di gudang terbabit.

"Op Taring ini bertindak menahan empat lelaki termasuk seorang warga India berusa lingkungan 20 hingga 30-an.

Iklan

"Polis telah merampas dua lori tangki 30 tan, sebuah lori tangki, lima lori lima tan, 100 buah IBC Tank, 32,400 liter minyak diesel bernilai RM85,500 selain 183,400 minyak hitam bernilai RM137,550," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Khamis.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggar bernilai RM8.4 juta.

Iklan

Katanya, modus operandi kegiatan itu adalah membeli diesel bersubsidi di stesen minyak di sekitar Lembah Klang dan Kuala Langat menggunakan lori tiga tan yang diubah suai dengan tangki khas yang boleh memuatkan sehingga 6,000 liter diesel.

"Minyak itu kemudian dibawa ke gudang terbabit untuk dipindahkan sebelum dijual semula kepada pihak industri dengan harga jauh lebih murah," ujarnya.

Tambahnya, dipercayai kegiatan itu aktif sejak dua bulan lalu.

"Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 34(B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing terbabit," tegasnya.

Ujar Ahmad Ridhwan, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk siasatan lanjut.