Lebih 20,000 al-Quran RM1.2 juta rosak banjir

Iklan
Muhammad Nasir (tengah) dan Izzat Ilyas (kiri) melihat al-Quran rosak yang ditunjukkan oleh Nurmizan.

PASIR PUTEH - Lebih 20,000 naskah al-Quran bernilai lebih RM1.2 juta rosak akibat banjir Monson Timur Laut (MTL) yang melanda di Pantai Timur pada Disember tahun lalu.

Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, kerosakan melibatkan naskah al-Quran yang disumbangkan oleh Karangkraf kepada pelbagai pihak termasuk agensi dan sekolah.

Iklan
Iklan

"Kami menerima makluman, penerima sebelum ini berdepan kesukaran untuk mengaji al-Quran kerana basah terkena banjir.

"Karangkraf dalam usaha mengumpul sumbangan untuk menggantikan semula Quran tersebut bagi membolehkan dan membantu orang ramai terus mengaji,” katanya ketika ditemui pada penyampaian 200 al-Quran bernilai RM12,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Danan di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir wakil Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia), Izzat Ilyas Muhammad Nasir.

"Kami dapat mengumpul sebanyak 200 naskah al-Quran dalam tempoh tiga hari manakala sebanyak 3,760 sudah disumbangkan sejak 2020 sehingga 2023.

Iklan

"Sumbangan untuk Wakaf Al-Quran adalah RM10 satu bahagian atau RM60 senaskhah,” katanya.

Muhammad Nasir (tengah) diiringi Izzat Ilyas (barisan kedua, empat dari kanan) menyampaikan al-Quran kepada Nurmizan pada Khamis.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan akaun Pertubuhan Harapan Istimewa Malaysia, CIMB Islamic Bank Berhad 8603574107 (Ref: WAKAFTHF).

Sementara itu, Guru Besar SK Danan, Nurmizan Musannef menzahirkan penghargaan atas sumbangan itu bagi menggantikan al-Quran mereka yang rosak.

"Banjir baru-baru ini berlaku mendadak dan tidak pernah seteruk ini. Biasanya air hanya setinggi 0.2 meter dan tidak merosakkan buku-buku serta al-Quran kerana sudah diletakkan lebih tinggi.

"Kejadian tersebut bagaimanapun berlaku mengejut dan luar jangka dengan air naik sehingga paras 0.6 meter menyebabkan beberapa al-Quran rosak terkena banjir,” katanya.