KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) disarankan supaya mula memberikan fokus membantu kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Felcra mempunyai potensi melaksanakan tanggungjawab untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik memandangkan ia kini mengendalikan lebih 200,000 hektar tanah di dalam negara.
"Untuk itu saya ingin menyarankan supaya Transformasi 3.0 mesti dirancang bagi melihat bahawa Felcra Berhad bukan hanya sebuah badan korporat yang terus memberikan keberuntungan komersial dan menjalankan kebertanggungjawaban sosial, tetapi juga menjadi sebuah konglomerat yang bantu kerajaan dan rakyat dari segi keterjaminan makanan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian ketika memberikan amanat pada program lawatan rasmi di Wisma Felcra di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.
Ahmad Zahid berkata, beliau menyasarkan supaya fokus tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh maksimum empat tahun.
"Kita boleh mulakan sekarang kerana asasnya telah ada cuma kita tambah luaskan skop dan produktivtinya. Yang penting adalah ianya dilaksana dengan kos yang efisien," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau akan memberikan penelitian terhadap kesemua syarikat diwujudkan di bawah Felcra Berhad bagi memastikan operasi perniagaannya tidak terlalu 'overdiversifed' (terlalu pelbagai).
Felcra Berhad kini sedang dalam proses melaksanakan Transformasi 2.0 yang menggariskan objektif penggemblengan aktiviti komersial bagi memperkembangkan perniagaan dan budaya kerja berwibawa.
Ia meliputi inisiatif sosial dan teras membabitkan aktiviti komersial di sektor perladangan dan sekuriti makanan.