Penganggur dipenjara 4 tahun menyamar polis, merompak

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana merompak seorang lelaki warganegara Bangladesh dan menyamar sebagai anggota polis.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas Muhammad Yusof Abdullah, 55, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan merompak, manakala kesalahan menyamar sebagai anggota polis dipenjara setahun.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Mac tahun lepas.

Mengikut dua pertuduhan, Muhammad Yusof didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan merompak mangsa mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,500 di hentian bas Batu 5, Jalan Ipoh di sini, 27 Februari 2022.

Iklan

Pertuduhan merompak mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda atau sebat, manakala menyamar polis, mengikut Seksyen 170 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis telah memeriksa mangsa dan memintanya menyerahkan pasport serta kad vaksin lalu menyelongkar beg mangsa dan mengambil wang tunai RM1,900, telefon bimbit serta wang Bangladesh 300 taka.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada Muhammad Yusof, manakala peguam Shamsul Sulaiman mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang kini tidak bekerja perlu menyara dua anak. - Bernama