Wang BAP dilarikan akan diganti, diagihkan sebelum Mac

Iklan
Fadhlin. - Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan wang peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dilarikan penjenayah dalam satu kejadian di pekan Semenyih, Isnin lalu, akan diganti dan diagihkan kepada murid sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mengakui ralat dengan kes kehilangan wang itu berkata, KPM sedang menunggu kelulusan dan jawapan daripada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai gantian tersebut.

Iklan
Iklan

"Duit yang hilang itu akan diganti. Jangan risau, itu hak anak-anak. Kita ralat dan kesal dengan kejadian ini berlaku tetapi pastinya keutamaan adalah hak anak-anak ini yang kita mesti serahkan kembali hak mereka," katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga kementerian di sini hari ini.

Beliau berkata, guru besar sekolah berkenaan juga akan disiasat mengikut tatatertib penjawat awam kerana berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang BAP.

Iklan

KPM menyerahkan kepada polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi menyiasat insiden berkenaan, katanya, JPN Selangor juga sudah bertemu dengan guru besar berkenaan dan akan mengumumkan hasil siasatan itu kemudian.

Pada Isnin lalu, dilaporkan wang tunai BAP berjumlah lebih RM100,000 dikeluarkan seorang guru besar dilarikan penjenayah di pekan Semenyih.

Iklan

Wang itu dipercayai dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah secara bersendirian.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina menyeru orang awam atau guru supaya tidak berkongsi atau tularkan kejadian kes pergaduhan melibatkan pelajar, sebaliknya melindungi golongan tersebut bagi membantu membentuk ekosistem sihat dan selamat.

"KPM memegang teguh perlindungan kanak-kanak dari segi identiti dan sekolah kerana kejadian yang viral akan memberi kesan panjang," katanya.

Ditanya mengenai kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Sabah semalam, Fadhlina berkata JPN Sabah telah diarah mengambil tindakan. - Bernama