KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pelaksanaan Op Selamat pada musim perayaan bertujuan melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kadar kemalangan, bukan mengganggu perjalanan orang ramai.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, ia susulan satu artikel bertajuk 'JPJ, polis jangan 'ganggu' perjalanan musim raya' yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan pada Khamis.
"Artikel berkenaan menyatakan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan jalan raya di musim perayaan.
"PDRM ingin menegaskan bahawa dalam tempoh 10 tahun Op Selamat salah satu daripada fokus pelaksanaan adalah melancarkan lalu lintas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mat Kasim berkata, selain itu, Op Selamat juga dilaksanakan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan mendidik orang ramai supaya lebih berhemah ketika memandu.
Katanya, Op Selamat ke-19 telah dilaksanakan di seluruh negara bermula Rabu sehingga 27 Januari sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Ahad ini.
"Op Lancar turut akan dilaksanakan di kawasan 'hotspot' yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas susulan pergerakan pulang ke kampung dan kembali semula ke rumah selepas tamat perayaan.
"Petugas PDRM akan ditempatkan di lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata, seluruh jentera PDRM akan berada di lapangan melibatkan anggota balai, Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan rondaan bit akan digerakkan secara sistematik serta holistik.
"Ia bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri, dan jalan perbandaran. Oleh itu, orang ramai diminta memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.
"Orang ramai diminta mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, salah guna lorong kecemasan, dan tidak parkir kenderaan hingga menghalang lalu lintas," ujar beliau.