BIARPUN menang, namun Pep Guardiola belum boleh mendabik dada dengan prestasi yang dipamerkan Manchester City ketika bangkit menewaskan Tottenham Hotspur, 4-2 pada Jumaat.
Aksi yang ditampilkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bukan watak sebenar The Citizens.
Di sebalik kemenangan itu, Guardiola menagih sokongan peminat yang mencemuh pasukan selepas ketinggalan dua jaringan sebelum rehat.
"Peminat mencemuh ketika kami ketinggalan. Mungkin kami terlalu selesa selepas menang empat gelaran EPL dalam tempoh lima tahun.
"Saya mahu reaksi daripada warga kelab, bukan hanya pemain. Saya mahu tewaskan Arsenal. Jika kami terus bermain seperti ini, Arsenal akan hancurkan kami," katanya.
Pada aksi itu, The Citizens ketinggalan dua gol hasil jaringan Dejan Kulusevski dan Emerson Royal dalam tempoh tiga minit sebelum rehat di Etihad.
City bagaimanapun mempamerkan kebangkitan dengan tiga gol dalam tempoh 12 minit menerusi Julian Alvarez, Erling Haaland dan Riyad Mahrez.
Mahrez kemudian memastikan kemenangan pada penghujung babak untuk meletakkan City lima mata di belakang Arsenal yang kurang satu aksi.
Bagaimanapun bagi Guardiola, aksi anak buahnya belum mencukupi untuk pasukan dengan reputasi empat gelaran EPL sepanjang lima musim lalu.
"Kami memberikan mereka gol pertama dan gol kedua tidak masuk akal. Tidak ada keberanian dan kami hanya bernasib baik, tetapi jika tidak diubah kami akan tercicir mata," kata Guardiola.