KUALA PILAH - Kementerian Kerja Raya komited untuk menaik taraf jalan-jalan termasuk Jalan Persekutuan di seluruh negara yang dikesan sebagai ‘blackspot’ atau penyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi.
Menteri berkenaan, Baru Bian berkata, adalah menjadi dasar kementerian untuk memberi keutamaan kepada projek seumpama itu kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa.
Katanya setiap negeri lebih mengetahui jalan mana di negeri masing-masing yang perlu dinaik taraf tetapi faktor 'blackspot' akan diambil kira dalam menentukan keutamaan sesuatu projek menaik taraf jalan itu.
"Ini adalah satu prinsip atau dasar kita yang mana kita juga akan menaik taraf Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara (dan) sekiranya ada faktor kemalangan itu, ia menjadi keutamaan pada kita,” katanya selepas merasmikan Laluan FT51 dari Kampung Sawah Liat ke Kampung Gedang daerah Kuala Pilah, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Mengulas lanjut, Baru berkata, projek FT51 itu dinaik taraf untuk mengurangkan kadar kemalangan."Saya ingin tekankan bahawa projek ini telah dimulakan selepas permohonan dibuat mengenai jalan raya di kawasan ini yang banyak kemalangan terjadi, jadi kita ambil serius kerana itu projek ini diterima tiga tahun lepas dan berjaya disempurnakan 17 Disember tahun lepas,” katanya.
Tambahnya, projek menaik taraf laluan FT51 juga adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur sokongan bermutu tinggi yang mana jajaran itu menjadi laluan penting menghubungkan Negeri Sembilan Barat dan Timur meliputi daerah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.
"Kos yang telah diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM25 juta meliputi kos keseluruhan termasuk pengambilan tanah, pengalihan utiliti manakala kos projek bernilai RM16.8 juta,” katanya.
"Saya juga amat berbangga kerana dimaklumkan penyerahan projek ini merangkumi tiga dalam satu iaitu ‘Certificate of Practical Completion’, ‘As-Built Drawings’ dan ‘Statement of Final Account’ yang perlu dicontohi projek lain yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya,” katanya.
Dalam pada itu, Baru juga berkata, penjimatan kos bagi sesuatu projek yang dilaksanakan dapat dicapai sekiranya pelaksanaan projek dijalankan dengan lancar dan berdisiplin."Penjimatan kos menjadi isu yang penting dan kita galakkan kontraktor untuk jimatkan kos bahkan kita memang ada beberapa kontraktor yang dapat buat begitu (penjimatan kos) dan ini adalah satu teladan bagi kontraktor lain,” katanya.
Projek menelan kos projek sebanyak RM16.8 juta itu mula dibina pada 15 Mei 2015 dan siap pada 17 Disember 2018, melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer.
Ia melibatkan penambahbaikan selekoh berbahaya, menaik taraf bahu jalan berturap 2 meter dan tidak berturap 1 meter, pembinaan dua ‘box culvert’, pengambilan tanah pengalihan utiliti dan juga pengalihan sungai. - Bernama