KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan semakan semula dan pindaan ke atas Akta 4 dan Akta 800 dalam usaha memperluaskan liputan dan menambah baik perlindungan keselamatan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, Akta 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 adalah bagi memberi perlindungan kepada pekerja di sektor formal termasuk pekerja asing dan pekerja domestik manakala Akta 800, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 melindungi pencarum yang kehilangan pekerjaan.
Beliau berkata, semakan semula akta-akta tersebut telah bermula dan KSM kini sedang mempersiapkan Kertas Kabinet untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
"Keputusan untuk menyemak semula dan meminda kedua-dua akta ini juga bertujuan melancarkan proses permohonan faedah dan penyampaian manfaat keselamatan sosial oleh Perkeso.
"Sebagai Menteri Sumber Manusia, saya komited untuk melaksanakannya demi kesejahteraan sekalian rakyat Malaysia agar tiada sesiapa yang tercicir dalam liputan perlindungan sosial, di mana ‘no one is left behind’,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Perkeso 2023 di sini pada Jumaat.
Sivakumar berkata, selain menambah baik faedah-faedah Perkeso sedia ada, kementerian juga bercadang untuk memperkenalkan perlindungan yang tidak berkaitan dengan bencana kerja, faedah cuti bersalin, serta perlindungan warga tua.
Dalam pada itu, beliau berkata, KSM menyasarkan 500,000 wanita di seluruh negara untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
"Pelaksanaan SKSSR yang bermula 1 Disember tahun lepas terbuka kepada suri rumah sepenuh masa atau tidak, sama ada berkahwin atau bujang, serta ibu tunggal, sekiranya mereka belum mencecah usia 54 tahun.
"Memandangkan SKSSR ini baru saja dilaksanakan, saya mengarahkan Perkeso menjalankan aktiviti promosi, libat urus dan kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang pentingnya mencarum kepada skim ini,” katanya.
Beliau berkata, rakyat harus berbangga kerana Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia dan antara empat negara pertama di seluruh dunia yang memperkenalkan perlindungan untuk suri rumah dalam pebagai skim dan bentuk faedah.
Pada majlis itu, hampir 160 jemputan terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim dan yatim piatu serta penerima faedah Perkeso dari sekitar Lembah Klang diraikan dan menerima sumbangan sama ada angpau, hamper atau bayaran faedah. - Bernama