Inflasi Malaysia reda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022

Iklan
Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022 didorong oleh kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menjelaskan, walau bagaimanapun inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding dengan 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Jabatan itu menambah, mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.2 pada Disember 2022 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3 peratus) telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

"Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding pada November 2022.

"Namun begitu, restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna, Malaysia Disember 2022 yang dikeluarkan DOSM pada Jumaat.

Beliau berkata, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5 peratus).

Begitu juga pendidikan dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus dan 1.3 peratus.

Minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut masing-masing mencatatkan kenaikan marginal 0.7 peratus dan 0.4 peratus.

Mohd Uzir berkata, peningkatan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 didorong terutama oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus) serta pengangkutan (4.7 peratus).

"Konflik antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada 2022 telah menyumbang kepada kenaikan inflasi,” katanya.

Beliau berkata, sementara itu inflasi bagi suku keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi mencatatkan peningkatan 0.6 peratus berbanding suku ketiga 2022, katanya.

"Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 mereda kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada November 2022. Ini disumbangkan terutama oleh kumpulan restoran dan hotel (0.7 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus),” katanya.

Beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

Katanya, peningkatan kumpulan ini terutama disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan kepada 4.9 peratus berbanding 5.8 peratus pada November 2022, manakala makanan di luar rumah meningkat 9.6 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2022: 9.6 peratus).

Beliau berkata, namun begitu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Krismas) bermula 23 hingga 27 Dis, 2022 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah membantu meredakan inflasi kumpulan ini daripada terus melonjak.

Dalam perkembangan sama, inflasi pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.9 peratus pada Disember 2022 berbanding tahun lepas (November 2022: 5.0 peratus) disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah.

Oleh itu, subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian menjadi sederhana kepada 4.3 peratus berbanding 5.1 peratus pada November 2022.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat sebanyak 20.0 peratus (RM3.60 seliter) berbanding RM3.00 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

DOSM menjelaskan kenaikan harga minyak ini terutama purata harga petrol tanpa plumbum RON97 dipengaruhi oleh harga minyak mentah Brent (8.9 peratus) kepada AS$80.90 setong pada Disember 2022.

Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata, empat negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.8 peratus iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.5 peratus), Sarawak (4.1 peratus) dan Johor (3.9 peratus).

Beliau berkata, Kedah merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2 peratus.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.6 peratus daripada 125.3 pada Disember 2021 kepada 129.8 pada Disember 2022 disebabkan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak 6.1 peratus.

Tambahan pula, Inflasi bagi kumpulan restoran dan hotel turut meningkat 7.8 peratus diikuti hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.2 peratus); pengangkutan (2.6 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus).

Ketua Perangkawan berkata, inflasi teras yang mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan 4.1 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 8.1 peratus. Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4 peratus, diikuti oleh pengangkutan (7.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.7 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.4 peratus), katanya.

Mengenai inflasi negara lain, beliau berkata, bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.1 peratus), Thailand (5.9 peratus), Indonesia (5.5 peratus) dan Republik Korea (5.0 peratus).

"Kadar inflasi Zon Euro mereda kepada 9.2 peratus pada Disember 2022 daripada 10.1 peratus pada bulan sebelumnya. Peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 25.7 peratus (November 2022: 34.9 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, walau bagaimanapun, makanan, alkohol dan tembakau (13.8 peratus); barangan perindustrian bukan tenaga (6.4 peratus) dan perkhidmatan (4.4 peratus) menunjukkan kadar inflasi yang lebih tinggi berbanding November 2022.

Kadar inflasi di Amerika Syarikat mereda kepada 6.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 (7.1 peratus), katanya. - Bernama