KAMPAR - Klinik Kesihatan (KK) Gopeng akan ditutup kepada orang ramai bermula Mei hingga November ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bumbung serta pendawaian elektrik klinik tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, klinik sementara akan dibuka di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng bermula 2 Mei ini bagi menggantikan operasi KK Gopeng yang ditutup.
"Klinik sementara ini akan bergabung dengan Klinik Komuniti Daerah, RTC Gopeng dan menawarkan perkhidmatan kesihatan dari hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
"Pada hari Sabtu dan Ahad, Klinik Komuniti Daerah RTC Gopeng akan beroperasi seperti biasa iaitu dari jam 9 pagi hingga 6 petang," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas hadir melawat Hospital Kampar, di sini, hari ini.
Boon Chye berkata, bagi melancarkan proses perpindahan ke klinik sementara RTC, Perak, KK Gopeng akan ditutup selama lima hari bermula dari 27 April sehingga 1 Mei ini.
"Untuk rawatan kecemasan dan akut sepanjang penutupan lima hari tersebut, pesakit adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran seperti di KK Malim Nawar, KK Kampar, KK Gunung Rapat atau klinik berhampiran yang lain.
"Bagi pesakit kronik untuk rawatan susulan pula seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain, disarankan untuk mendapatkan tarikh temu janji baru di talian 05-3596985," katanya.
Menurut Boon Chye pihaknya menghargai segala kerjasama yang diberikan sepanjang proses penambahbaikan dijalankan dan terus komited untuk memberikan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada semua.