SHAH ALAM - Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Wang Nilai CNY’ mengagihkan angpau dan sumbangan pelbagai barangan lain kepada rumah-rumah kebajikan yang memerlukan sempena Tahun Baharu Cina.
Acara dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Menyentuh Hati Kuala Lumpur, Selangor (HATI) itu juga telah menggerakkan para sukarelawan untuk mengunjungi sebuah rumah kebajikan kanak-kanak, remaja dan warga emas di Selangor, Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti permainan, membantu para penghuni memasang hiasan Tahun Baharu Cina dan sesi ‘Lou Sang’ bersama sukarelawan.
Menurutnya, rumah kebajikan tersebut turut menerima baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM1,000 untuk membantu mereka membeli barangan keperluan harian.
"Tahun Baharu Cina adalah waktu di mana kita meluangkan masa bersama keluarga dan meraikan pelbagai tradisi Cina.
"Namun, tidak semua orang bernasib baik dan dapat meraikan tradisi tersebut bersama keluarga dan kami ingin memastikan golongan ini juga dapat merayakan Tahun Baharu Cina yang bermakna.
"Inisiatif ‘Wang Nilai CNY’ dengan HATI membolehkan kami berkongsi kemeriahan perayaan ini bersama mereka yang mungkin bersendirian atau sedang mengalami cabaran. Kami amat gembira melihat kemeriahan yang telah terhasil daripada program ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Alex berkata, sokongan orang ramai terhadap HATI dan MR D.I.Y. juga telah membantu menyebarkan kegembiraan Tahun Baharu Cina kepada 12 buah rumah kebajikan lain di seluruh negara.
"Hasil usaha gigih HATI dan pasukan MR D.I.Y. Cares, kami berjaya mencipta kelainan untuk para penghuni rumah-rumah kebajikan ini.
"Kami berharap agar dengan berbuat demikian, kami dapat menghasilkan impak yang positif dan menggalakkan syarikat-syarikat korporat lain untuk turut melaksanakannya.
"Bersama-sama, kita pasti akan dapat menghasilkan perbezaan sebenar,” ujarnya.
Antara rumah kebajikan dan penjagaan telah menerima sumbangan Tahun Baru Cina dari MR D.I.Y. adalah Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit, Perlis; Pertubuhan Bakti Yong Ai, Kedah; Rumah Kebajikan Seri Cahaya Pulau Pinang; Pusat Jagaan Praise, Perak; Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Kampung Baru Mentakab, Pahang
Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Amal Charis, Negeri Sembilan; Kasih Sayang Angel Charity Home, Bukit Baru, Melaka; Pertubuhan Kebajikan Cheng En, Johor; Rumah Ehsan, Dungun, Terengganu; Mesra Homecare Centre, Kota Bharu, Kelantan; Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan, Sabah dan Rumah Kanak-Kanak Methodist Sibu, Sarawak.