IPOH - Polis Perak mengeluarkan 909 saman dalam tempoh dua hari pelaksanaan Op Selamat 19/2023 sempena Tahun Baharu Cina yang bermula sejak Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Azizan Hassan berkata, jumlah itu menurun sebanyak 63 peratus berbanding Op Selamat 17/2022 yang mencatatkan 2,458 saman dalam tempoh sama.
"Mengabai peraturan lalu lintas mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 150 saman diikuti kesalahan parkir (89), tidak memakai tali pinggang keledar (49), nombor plat kenderaan (39) dan lain-lain.
Beliau ditemui pemberita pada Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang ke Kampung sempena Tahun Baharu Cina bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail dan Timbalan JSPT negeri, Superintendan Roslan Mohamed.
Azizan berkata, aliran trafik yang melalui lebuh raya bergerak perlahan dengan menjangkakan peningkatan sebanyak 30 peratus atau dua juta kenderaan sehingga Sabtu kerana pemberian tol percuma.
"Antara kawasan yang dikenal pasti berlaku kesesakan di lebuh raya adalah Gunung Semanggol, Bukit Berapit, Sungai Perak, Terowong Menora, Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng dan Tapah.
"JSPT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sentiasa membuat pemantauan selain menempatkan pegawai trafik di lokasi-lokasi panas," katanya.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.