SELANGOR FC serius untuk membentuk sebuah pasukan mantap bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila mengumumkan kehadiran penyerang muda Ghana, Rauf Salifu.
Pengumuman perpindahan bekas penyerang Sporting Kansas City II yang beraksi dalam saingan Liga MLS NEXT Pro di Amerika Syarikat itu dibuat menerusi laman media sosial Selangor FC pada Jumaat.
Berasal dari Accra, Ghana, Salifu merupakan pemain pasukan utama kelab tempat kelahirannya, Accra Lions FC sejak 2018 sehingga 2021.
Semasa musim 2020-2021, Salifu menjaringkan 21 gol daripada 58 perlawanan sekali gus membantu kelab itu layak ke Liga Perdana Ghana.
Rekod jaringannya yang memberangsangkan mendorong Sporting Kansas City mendapatkan khidmatnya musim lepas.
Menurut laman rasmi MLS NEXT Pro pada Julai, Salifu mencatat nama sebagai pemain pertama dalam sejarah liga tersebut yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.
Salifu berharap kehadirannya dapat memperkuatkan pasukan apabila Liga Super bermula pada akhir Februari ini.
"Ini merupakan kali pertama saya berada di Asia. Cuaca di Malaysia lebih kurang sama di Ghana, jadi saya yakin ini membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri di sini.
"Saya lihat Selangor FC mempunyai penyokong yang sangat ramai. Ia menjadi antara sebab saya memilih ke sini.
"Saya akan berusaha untuk buat mereka bangga dengan kelab ini dan tidak mengecewakan mereka,” katanya menerusi temubual bersama media rasmi kelab.
Salifu merupakan pemain import keenam Selangor selepas Noor Al-Rawabdeh, Yazan Al-Arab, Hein Tet Aung, Richmond Ankrah dan Alex Agyarkwa.
Skuad Gergasi Merah sebelum ini memperkenalkan bekas pemain Terengganu FC, Faisal Halim, V. Ruventhiran (Petaling Jaya City) dan Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC) sebagai pemain baharu pasukan.