PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad mendedahkan dirinya mempunyai masalah komplikasi jantung setelah membuat pemeriksaan pada pertengahan awal Mac lalu.
Menurut laporan sebuah akhbar, Uyaina, 26, memberitahu tidak menyangka mempunyai penyakit tersebut memandangkan dia menjalani kehidupan yang sihat dan aktif, selain usianya yang masih muda.
Kata pelakon Curi-Curi Cinta ini, berita tersebut disampaikan oleh doktor yang merawat ketika dikejarkan ke hospital selepas pengsan di rumah.
"Saya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengalami komplikasi jantung yang agak serius. Memang terkejut dan tidak menjangka sama sekali,” katanya yang dipetik darIpada laporan tersebut.
Meskipun pada awalnya bersedih dengan kenyataan itu, Uyaina yang juga merupakan pengacara Malaysia Hari Ini, giat menjalani rawatan susulan yang dicadangkan doktor.
Dalam masa yang sama, Uyaina turut memohon agar para peminat mendoakan yang terbaik untuk kesihatannya.
Uyaina kini dilihat tampil lebih bersemangat dan positif menjalani kehidupan.
"ALLAH tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuannya,” tulis Uyaina dalam hantaran terbaharu di laman Instagramnya.