SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan pemimpin sebuah parti politik yang mengatakan masjid di negeri berkenaan kini semakin sepi dan sambutannya tidak cukup memberangsangkan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia adalah reka cerita, dusta, fitnah dan khabar bohong semata-mata untuk raih kepentingan politik.
Menurutnya, umum mengetahui bahawa pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini telah mengumumkan fasa peralihan pandemik ke endemik Covid -19 bermula tarikh 1 April 2022.
Pada Khamis, Mohd Shafie dalam satu kenyataan mendakwa masjid di negeri berkenaan kini semakin sepi dan sambutannya tidak cukup memberangsangkan malah turut mendakwa kuliah agama di Selangor umpama jasad sakit yang menunggu masa untuk mati.
Dalam pada itu, Zawawi berkata, kerajaan Selangor membelanjakan peruntukan sejumlah RM 1.4 bilion sejak tahun 2019 bagi memartabatkan institusi Islam seperti pembangunan dan pembinaan masjid baharu, pengimarahan masjid dan surau serta memperkasa institusi tahfiz dan sekolah agama.
Berkenaan dakwaan Mohd Shafie berkaitan pengkuliah yang ditarik balik tauliah mengajar di negeri itu pula, Zawawi berkata, mereka yang ditarik balik tauliah mengajar hanya selepas didapati terlibat di dalam politik kepartian secara aktif.
"Sebahagian daripada mereka cuba membawa fahaman Takfiri, Ghuluw (Melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal.
"Kerajaan negeri Selangor bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keharmonian masjid dan surau di negeri Selangor melalui undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) No. 9 Tahun 1995 iaitu denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Hal itu, Zawawi berkata, sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj iaitu larangan penggunaan masjid dan surau bagi menjalankan program serta ceramah berunsur kepentingan politik kepartian yang dikeluarkan pada 9 Januari 2023.
"Baginda menegaskan supaya masjid kekal bebas daripada unsur kepartian dan merupakan tempat ibadah dan kegiatan ilmu yang harmoni, tenang, ukhuwah dan bersilaturahim.
"Oleh yang demikian, saya melihat dakwaan yang dilemparkan ini tanpa sebarang bukti yang jelas dan tidak berasas sama sekali dan pihak terbabit perlu menarik balik kenyataan tersebut dengan segera," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus berusaha menjadikan masjid dan surau diimarahkan dengan pelbagai kegiatan kerohanian dan keagamaan sepanjang masa ke arah pembinaan masyarakat madani.