SHAH ALAM - Baru-baru ini negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian seorang ibu sanggup melakukan perkara terkutuk terhadap darah dagingnya sendiri.
Seorang ibu muda yang baru berumur 20 tahun, disyaki tergamak menekup dan mencekik anak kandungnya dengan bantal.
Lebih sadis, kejadian yang berlaku di kondominium sekitar Cyberjaya itu menyebabkan bayi yang hanya berusia 18 bulan itu meninggal dunia.
Kejadian tersebut dikesan berlaku pada 12 Januari lalu ketika suspek bersama kekasihnya berusia 21 tahun yang juga seorang pelajar sebuah kolej.
Pada Jumaat, suspek yang juga seorang kerani di sebuah syarikat swasta dikenali Umishahirah Khalid telah didakwa di Mahkamah Sesyen, Sepang, Selangor.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
Pembunuhan menyayat hati ini bukan baru pertama kali berlaku di Malaysia, malahan sebelum ini telah banyak berlaku.
Masih tiada jawapan, mengapa sanggup melakukannya meskipun individu itu merupakan darah daging sendiri.
Jika tidak mampu untuk menjaga, disarankan untuk beri kepada pihak yang sepatutnya ataupun individu yang menawarkan diri untuk menjaganya.
Jangan kita menghukum mereka yang tidak bersalah. Kelak kita yang binasa.