Penggajian pekerja asing bagi sektor lain akan dikaji

Iklan
Sivakumar (tiga dari kanan) ketika sesi bergambar pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Pusing Batu Gajah, malam tadi. - Foto Bernama

BATU GAJAH - Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk memperluas kelulusan penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor kritikal lain selepas tiga bulan pelaksanaan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, lima sektor dan subsektor kritikal yang terlibat ketika ini ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan melibatkan restoran sahaja.

Iklan
Iklan

"Selepas tiga bulan apabila kita dapat menyelesaikan masalah (kekurangan pekerja asing bagi sektor dan subsektor kritikal), kita akan mempertimbangkan kepada sektor peruncitan dan lain-lain," katanya.

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Pusing di sini, malam tadi.

Iklan

Rabu lepas, Sivakumar memaklumkan 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan bilangan itu akan ditambah jika terdapat keperluan, namun tidak melebihi 2.4 juta.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Iklan

Saifuddin dipetik sebagai berkata, beliau akan mengetuai siri lawatan bersama Kementerian Sumber Manusia dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini. - Bernama