United tekad benam Arsenal

Iklan
Ten Hag - Foto AFP

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag memuji kemampuan Arsenal untuk berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), namun yakin mampu menundukkan pasukan itu pada Isnin.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi EPL di Emirates dengan Arsenal kini sedang selesa menghuni kedudukan teratas dan menjadi calon pilihan untuk muncul juara liga.

Iklan
Iklan

"Jelas sekali mereka (Arsenal) berada dalam prestasi yang sangat baik dan saya fikir mereka berhak mendapat kedudukan seperti sekarang.

"Jadi, mereka berada dalam persembahan yang hebat, tetapi terpulang kepada kami untuk menghentikan mereka. Kami akan melakukan segalanya," kata ten Hag.

Iklan

United merupakan satu-satunya pasukan yang menewaskan Arsenal dalam saingan liga musim ini, dengan The Red Devils menikmati kemenangan 3-1 di Old Trafford pada September.

Dalam masa sama, ten Hag juga mengakui tidak terkejut Arsenal masih terus menguasai liga dan berada di atas pencabar utama mereka, Manchester City.

Iklan

"Tidak. Pada masa kami menentang mereka, anda sudah dapat melihat bahawa pengurus dengan kakitangan kejurulatihannya sudah lama bekerja dalam pasukan itu.

"Anda melihat struktur yang sangat baik dalam pasukan dan saya fikir mereka juga bertambah baik pada separuh pertama musim ini," katanya.

Walaupun United yang kini berada di kedudukan ketiga lapan mata di belakang Arsenal, pasukan kendalian ten Hag itu mempunyai momentum dengan rekod 10 perlawanan tanpa kalah.