SHAH ALAM - Pas menyeru rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bekerjasama untuk menghadapi apa-apa cabaran mendatang dengan mengambil semangat ketelitian dan ketangkasan 'Sang Arnab' sempena Tahun Baharu Cina.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menerusi semangat itu dapat membina negara Malaysia lebih cemerlang dan bermanfaat kepada semua.
Justeru, beliau berkata, Pas mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Malaysia berketurunan Cina di seluruh negara yang menyambutnya pada Ahad.
"Seperti tahun-tahun lepas pada malam tahun baharu kali ini, masyarakat Cina akan berkumpul dengan keluarga serta orang tersayang untuk melepaskan Tahun Harimau dan menyambut kedatangan Tahun Arnab pula.
"Atas semangat tahun baharu juga, pastinya anda akan berkongsi kegembiraan dan bersama-sama meraikan kehadiran semua pada waktu senang selain menawarkan sokongan dan bantuan pada masa-masa sebaliknya.
"Bersempena tahun baharu ini, marilah seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bekerja bersama bagi menghadapi apa-apa cabaran yang mendatang dengan mengambil semangat ketelitian dan ketangkasan 'Sang Arnab' dalam usaha membina negara Malaysia lebih cemerlang dan bermanfaat kepada semua," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Takiyuddin turut mendoakan semua agar berada dalam keadaan baik.
"Semoga semua berada dalam kesejahteraan dan kesihatan yang lebih baik pada tahun ini," katanya.
Perayaan Tahun Baharu Cina akan disambut masyarakat Cina pada esok.