Suami isteri ditahan curi dalam kenderaan

Iklan
Antara barangan yang dirampas selepas polis menahan suami isteri itu di Taman Tasek Tambahan pada Jumaat.

AMPANG - Sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi dalam kenderaan di Jalan Teratai 1/3, Taman Bukit Teratai di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari mangsa apabila jirannya memaklumkan kereta jenis Proton X70 warna kelabu yang diparkir di luar rumah dalam keadaan terbuka pada jam 7 pagi.

Iklan
Iklan

"Pengadu mendapati barang dalam kereta telah berselerak dan hilang antaranya iPhone 6S warna putih dan sebuah beg silang hitam jenama Calvin Klein mengandungi dokumen penting, kerugian dianggarkan RM600," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, pasangan berusia 40 dan 45 tahun itu ditahan di Taman Tasek Tambahan pada jam 3 petang, Jumaat.

Iklan

"Kita turut merampas sejumlah telefon bimbit pelbagai jenis, cermin mata, kamera, topi, beg tangan wanita, jam tangan, minyak wangi, kad bank, Touch n Go dan kasut, anggaran rampasan sebanyak RM20,000," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati pasangan tersebut juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Iklan

Menurutnya, modus operandi suspek adalah menyasarkan kenderaan yang diparkir di tempat sunyi dan mengumpil pintu kenderaan tersebut.

"Kita mendapati suspek lelaki terlibat di dalam kegiatan jenayah, namun isterinya yang tidak bekerja tahu mengenai kegiatan suaminya, hasil curi tersebut digunakan untuk perbelanjaan harian dan membeli dadah," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap pasangan tersebut didapati positif dadah.

"Pasangan tersebut akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun keseksaan," katanya.